Kumpulan popular
Indonesia Radja bakal kembali menghiburkan peminat Malaysia menerusi konsert
solo istimewa mereka, Konsert Revolusi Radja 25 Tahun yang
akan berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 11 Julai 2026.
Konsert anjuran DHYAH
PROD7CTION bersama INFINITY LOVE CREATIVE VENTURES ini diadakan khas
sempena meraikan perjalanan 25 tahun Radja dalam industri muzik Nusantara,
sekali gus menjadi simbol penghargaan buat para peminat yang tidak pernah
berhenti menyokong perjalanan seni mereka sejak dahulu hingga kini.
Selepas mencipta
fenomena menerusi Konsert RadjaWali yang berlangsung pada awal Januari tahun
ini, kemunculan semula Radja ke Malaysia kali ini pastinya lebih dinantikan.
Lebih istimewa, konsert ini merupakan sebuah persembahan solo penuh yang
memberi fokus sepenuhnya kepada kekuatan muzik, vokal dan identiti sebenar
kumpulan tersebut.
Peminat bakal
disajikan dengan deretan lagu popular seperti Cinderella, Jujur, Benci
Bilang Cinta, Takkan Melupakanmu, Manusia Biasa, Jangan
Sakiti Aku, Aku Ada Karena Kau Ada dan banyak lagi yang telah
menjadi siulan ramai selama lebih dua dekad.
Lagu-lagu
seperti Cinderella, Jujur dan Manusia Biasa sememangnya
dianggap sebagai antara “signature songs” Radja yang sentiasa menjadi kemuncak
setiap persembahan live mereka. Tidak dinafikan, lagu-lagu ini juga terus kekal
relevan dan dekat di hati peminat pelbagai generasi.
Untuk Konsert Revolusi Radja 25
Tahun nanti, para peminat pastinya menantikan detik
nostalgia yang membangkitkan semula era kegemilangan band muzik yang dianggotai
Ian Kasela selaku vokalis utama, Moldy (gitaris / komposer utama), Adit (pemain
bass) dan Seno Aji (pemain dram) sekitar awal 2000-an, yang ketika itu menjadi
fenomena besar dalam industri muzik serantau.
Wakil penganjur,
Mubarak Akhtar Mohd Aris, berkata konsert ini merupakan peluang terbaik buat
peminat yang merasakan persembahan Radja dalam Konsert RadjaWali sebelum ini
tidak mencukupi untuk menikmati pengalaman sebenar menyaksikan kumpulan
tersebut beraksi dalam format konsert penuh.
“Bagi peminat
Radja yang masih belum puas menyaksikan persembahan mereka ketika Konsert
RadjaWali pada Januari lalu, inilah peluang terbaik untuk hadir dan menikmati
persembahan Radja secara eksklusif dalam konsert solo mereka sendiri,” kata
beliau.
Tambah Mubarak
lagi, konsert ini turut menjanjikan beberapa elemen kejutan istimewa buat
penonton, termasuk persembahan tribute unik oleh dua DJ profesional wanita dari
Malaysia dan Indonesia yang akan mempersembahkan lagu-lagu Radja dalam susunan
muzik elektronik yang lebih segar dan moden.
“Setakat ini DJ
wanita dari Indonesia yang sudah mengesahkan penglibatannya di dalam konsert
ini adalah Nathalie Holscher dan beliau adalah salah seorang DJ yang sedang
meningkat naik namanya di negara republik ini.
“Walaupun diberi
pembaharuan dari segi susunan muzik, identiti asal serta kekuatan emosi setiap
karya tetap dikekalkan, sekali gus menawarkan pengalaman persembahan yang lebih
moden, bertenaga dan relevan dengan citarasa penonton masa kini,” katanya.
Beliau turut
menambah bahawa konsert ini akan menjadi lebih istimewa dengan kemunculan
beberapa penyanyi jemputan dari Malaysia yang akan diumumkan dalam masa
terdekat, sekali gus menambahkan lagi nilai eksklusif kepada acara berprestij
ini.
Sementara
mewakili Radja, Ian Kasela berkata, Malaysia sentiasa mempunyai tempat yang
istimewa di hati kami sejak awal perjalanan seni Radja. Setiap kali kami
membuat persembahan di sini, sambutan yang diberikan peminat sentiasa luar
biasa dan penuh kehangatan.
“Konsert Revolusi Radja 25
Tahun ini bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi
satu perjalanan emosi yang meraikan 25 tahun muzik, kenangan dan sokongan yang
tidak pernah putus daripada para peminat kami di Malaysia dan seluruh
Nusantara.
“Kami tidak
sabar untuk kembali ke Kuala Lumpur dan berkongsi malam yang penuh nostalgia
ini bersama anda semua. Ini adalah hadiah istimewa daripada Radja untuk semua
peminat setia kami,” jelasnya.
Secara
keseluruhannya, Konsert Revolusi Radja 25 Tahun dijangka
menjadi sebuah malam penuh nostalgia, emosi dan energi yang bakal mengubat
kerinduan peminat terhadap persembahan solo kumpulan legenda tersebut, serta
mengukuhkan lagi kedudukan Radja sebagai antara nama besar dalam industri muzik
Nusantara.
Maklumat lanjut
mengenai penjualan tiket, kategori harga serta barisan penuh persembahan akan
diumumkan di laman sesawang rasmi: https://www.airasia.com/movetix/en-gb/
dalam masa terdekat.
